PEMAIN Penang FC, Adriano (tengah) diasak pemain Perak FC,  pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
PEMAIN Penang FC, Adriano (tengah) diasak pemain Perak FC, pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd


Georgetown: Penang FC akhirnya berjaya melakar kemenangan sulung di laman sendiri pada saingan minggu keenam Liga Super 2023 selepas membenam Perak FC 3-1 di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Penang yang turun tanpa kehadiran Ketua Jurulatihnya, Chong Yee Fatt pertama kali menampilkan penjaga gawang, Azfar Arif dan meletakkan Khatul Anuar di bangku simpanan.

Terlebih dahulu, kem pelawat dikejutkan dengan rembatan padu penyerang tunggal skuad Harimau Kumbang, Sonny Saad seawal minit keenam.

Sebelum itu, pemain tengah Nik Akif Syahiran membuat hantaran kepada Adriano yang kemudiannya disambut bak peluru oleh Sonny yang terus meledak gol tepat ke gawang lawan.

Nik Akif terus beraksi cemerlang apabila mencatat gol pertamanya bersama Skuad Harimau Kumbang pada minit ke-37.

Pemain kelahiran Kelantan berusia 23 tahun itu terlebih dahulu merampas bola hasil kesilapan hantaran Haziq Puad untuk meletakkan Penang dalam kedudukan kekal selesa sebelum menuju 45 minit separuh masa pertama.

Penang terus melancarkan serangan bertubi-tubi namun berdepan masalah kecederaan apabila dua pemainnya termasuk Asnan Ahmad terpaksa diusung keluar padang selepas bertembung dengan kapten skuad Seladang, Hafizal Muhamad pada minit ke-56.

Bersambung babak kedua sang Seladang melakukan empat pertukaran serentak membabitkan Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea, Hadi Fayyadh dan Sunil Chandran.

Perubahan itu menyaksikan anak buah Datuk Lim Teong Kim bangkit melakukan asakan demi asakan dengan Seo Seon-ung merapatkan kedudukan buat Perak FC pada minit ke-71.

Kelalaian Penang yang membiarkan pelawat menekan membawa padah apabila lorongan kaki kiri pemain penyerangnya, Hadi Fayyadh disudahkan kaki kanan pemain import Korea Selatan itu.

Namun, tandukan Giovani Gomes menjarakkan kedudukan untuk Penang mendahului Perak dengan jaringan tiga berbalas satu seterusnya meraikan kemenangan yang menjadi buruan berbaki tujuh minit perlawanan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:42 AM