TEONG Kim akur kekuatan JDT.
TEONG Kim akur kekuatan JDT.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Adakah ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim hilang kata-kata atau 'koyak' dengan prestasi anak buahnya selepas tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi Liga Super musim ini?

Itu antara persoalan yang timbul selepas jurulatih berusia 59 tahun itu memilih untuk menjawab soalan secara sarkastik selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim semalam menyaksikan pasukannya tewas 0-5 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Ipoh.

Malah bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu turut dilihat membuat isyarat seolah-olah tidak mendengar soalan ketika wartawan bertanyakan soalan berkenaan persembahan pasukannya sambil matanya meliar memandang ke arah lain.

Namun, wartawan berkenaan tetap tidak berputus asa dan kemudiannya mengajukan soalan sama buat kali kedua berkenaan bagaimana Teong Kim menyimpulkan keseluruhan perlawanan menentang JDT.

"Saya sudah kata bukan, bahawa JDT pasukan yang kuat," jawab Teong Kim sambil mengangkat bahu.

Selepas terdiam beberapa saat, wartawan itu bertanya soalan lain berkenaan kekurangan pasukan selepas tujuh perlawanan namun persoalan itu dibalas sekali lagi secara sarkastik oleh Teong Kim.

"Kekurangan? You nampak game bukan, you fikir sendirilah apa kekurangan kami. Bukan you tak lihat game. Siapa yang lihat dia tahulah."

Untuk rekod, pada musim ini, Perak hanya mencatat satu kemenangan daripada tujuh perlawanan musim ini, manakala selebihnya mereka kalah empat kali dan seri dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 6:05 PM