RONALDO (kanan) menjaringkan dua lagi gol untuk Al Nassr. FOTO TWITTER AL NASSR
RONALDO (kanan) menjaringkan dua lagi gol untuk Al Nassr. FOTO TWITTER AL NASSR
Agensi

London: Ketajaman penyudah Cristiano Ronaldo yang menjaringkan dua gol dalam aksi terbaru Al Nassr, membuktikan pengendali Manchester United, Erik ten Hag melakukan kesilapan paling besar dalam bola sepak, menurut Piers Morgan.

Menerusi kemenangan 5-0 ke atas Al Adfalah, semalam, peminat menggambarkan Ronaldo mempunyai 'kaki lemah paling hebat dalam sejarah permainan indah ini' berdasarkan gol kedua dijaringkannya pada perlawanan itu.

United melepaskan legenda Portugal berusia 38 tahun itu pada Disember, susulan temu bualnya bersama Morgan yang mengkritik kelab dan Ten Hag.

Kini selepas persembahan sederhana di Piala Dunia Qatar 2022 dan permulaan perlahan dalam karier di Arab Saudi, Ronaldo kembali menemui sentuhannya.

Dia membuka jaringan untuk Al Nassr menerusi sepakan penalti dan menyumbang gol ketiga dengan menggunakan kaki kirinya.

"Kaki lemah paling hebat dalam sejarah permainan indah ini. Gol ke-156 dengan kaki lemah oleh GOAT (yang terhebat sepanjang zaman)," kata salah seorang peminat.

Morgan pula berkata: "Dua lagi oleh Cristiano malam ini, termasuk satu yang cukup hebat, membuktikan keputusan Ten Hag menyingkirkannya untuk Wout Weghorst adalah keputusan paling teruk dalam sejarah bola sepak."

Bagi peminat yang sering membandingkan Ronaldo dan Lionel Messi, faktor usia pula dijadikan ukuran.

"Pada usia 38 tahun, Ronaldo masih hebat, teringin untuk melihat yang seorang lagi melakukan begini pada usia 38 tahun," katanya.

Selepas mencecah usia 38 tahun, Ronaldo sudah meledak 14 gol dan dua umpanan gol dalam 10 perlawanan.

Bagaimanapun, di sebalik kehebatan Ronaldo itu, ramai masih membandingkan jurang persaingan antara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan liga utama Arab Saudi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 8:59 AM