REAKSI Messi ketika perlawanan bertemu Lyon. FOTO Reuters
REAKSI Messi ketika perlawanan bertemu Lyon. FOTO Reuters
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) mengalami kekalahan kali kedua berturut-turut di tempat sendiri apabila tewas 0-1 kepada Lyon dengan pemain sensasi mereka, Lionel Messi diejek oleh sebahagian penyokong.

Selepas tewas 0-2 di laman sendiri kepada Rennes dua minggu lalu, pemain Lyon, Bradley Barcola memastikan kekalahan terbaru untuk PSG di Parc des Princes.

Gol oleh Barcola yang masuk menggantikan Amin Sarr, menebus kekecewaan selepas Alexandre Lacazette gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Ia adalah kekalahan kali kelima PSG di Ligue 1 musim ini, sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Christophe Galtier hanya mempunyai kelebihan enam mata berbanding Lens di tempat kedua dan Marseille di tempat ketiga.

Kontrak Messi, 35, selama dua tahun bersama kelab Paris itu hampir tamat.

Rundingan sudah bermula untuk memperbaharui kontraknya tetapi dia juga dikaitkan dengan perpindahan semula ke Barcelona.

Sepanjang dua musim, pemain veteran itu sudah melakukan 67 penampilan bersama PSG termasuk perlawanan menentang Lyon dan sudah menjaringkan 29 gol.

"Sukar untuk menjelaskan mengenai ejekan itu. Leo adalah pemain yang banyak memberi sumbangan sejak awal musim.

"Dengan kebijaksanaannya, Leo dapat melorongkan bola dengan baik, membantu menjaringkan gol dan dia sendiri menjaringkan gol. Saya tidak pernah terfikir untuk melepaskannya," kata Galtier.

Pemain tengah PSG, Danilo mengakui pasukan itu sedang melalui 'fasa sukar' dan mereka perlu mencari jalan keluar.

"Kami perlu bangkit semula kerana masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi," katanya di Prime Video.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 8:46 AM