MESSI dikatakan bakal berhijrah ke kelab Arab Saudi, Al Hilal. FOTO Reuters
MESSI dikatakan bakal berhijrah ke kelab Arab Saudi, Al Hilal. FOTO Reuters
Reuters

Paris: Penyerang Argentina, Lionel Messi akan beraksi dalam perlawanan terakhir bersama Paris St Germain (PSG) menentang Clermont Ahad ini, jelas jurulatih, Christophe Galtier.

"Saya memperoleh keistimewaan melatih pemain terbaik dalam sejarah bola sepak. Ini akan menjadi perlawanan terakhirnya di Parc des Princes, dan saya berharap dia akan menerima sambutan yang paling hangat," kata Galtier.

Messi, yang menjaringkan 21 gol dan 20 bantuan jaringan untuk PSG dalam semua kejohanan musim ini, berpindah ke ibu kota Perancis dari Barcelona pada 2021 dengan kontrak dua tahun.

"Tahun ini, dia menjadi bahagian penting dalam pasukan, sentiasa bersedia. Saya tidak fikir sebarang komen atau kritikan adalah wajar," kata Galtier.

"Dia sentiasa berada di sana untuk pasukan. Ia adalah satu keistimewaan yang hebat untuk menemaninya sepanjang musim."

Masa depan Messi di PSG menjadi subjek spekulasi baru-baru ini, dengan sumber yang rapat dengan kapten Argentina memberitahu Reuters bahawa dia menerima tawaran rasmi untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 8:10 PM