TEN Hag puas dengan aksi yang diperagakan United. FOTO AP
TEN Hag puas dengan aksi yang diperagakan United. FOTO AP
AFP

Leeds: Erik ten Hag memuji Marcus Rashford yang disifatkannya sebagai salah seorang penyerang terbaik Eropah apabila gol pemain itu pada lewat perlawanan memberi inspirasi kepada kemenangan 2-0 Manchester United ke atas seteru lama, Leeds United.

Sebelum ini jaringan Rashford membolehkan United kembali bangkit daripada ketinggalan dua gol Khamis lalu untuk mencatat keputusan seri 2-2 juga ketika bertemu Leeds.

Rashford menjaringkan gol ketika aksi berbaki 10 minit di Elland Road menjadikannya ia adalah perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) keempat berturut-turut yang menyaksikan penyerang England itu mencetak nama sebagai penjaring.

Selepas memberi reaksi kecewa apabila dikeluarkan Khamis lalu, Alejandro Garnacho menebus kesalahan itu dengan masuk sebagai pemain gantian sebelum meledak gol bagi mengesahkan kemenangan United ketika aksi berbaki lima minit.

"Dia sebenarnya salah seorang daripada mereka (penyerang terbaik Eropah). Dia mempunyai kemahiran. Saya yakin dari saat pertama bertemu dengannya.

"Saya sangat teruja dapat bekerja dengannya, saya harap dapat lebih lagi darinya.

"Apabila dia terus beraksi baik dan terus fokus dalam setiap perlawanan serta membawa tenaga dan rasa yakin, dia akan terus mendapat gol," kata Ten Hag.

Kemenangan United hanyalah yang kedua dalam lima aksi terakhir liga, walaupun mereka hanya tewas sekali dalam 17 aksi terakhir membabitkan semua kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 9:07 AM