Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red. FOTO NSTP
Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Usahawan yang juga 'tiktoker', Datuk Red, 46, kini bergelar duda buat 'kali kedua' selepas sah bercerai talak satu dengan isteri pertamanya, Datin Seri Sharifah Norshafila Hashim, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor, pada jam 10.40 pagi ini.

Pada 24 April lalu, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu terlebih dulu bercerai talak satu dengan isteri keduanya iaitu penyanyi, Adira Suhaimi, 32, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat selepas sembilan tahun hidup bersama dan dikurniakan empat cahaya mata.

Datuk Red berkata, dia bersetuju menceraikan Datin Red kerana tidak mahu memanjangkan lagi isu rumah tangga mereka dan memilih berpisah secara baik walaupun sudah 18 tahun hidup bersama dan mempunyai lima anak.

"Saya dan bekas isteri (Datin Red) sudah berbincang dan sepakat mahu bercerai secara baik. Kami juga akan bersama-sama membesarkan anak-anak. Kalau saya teruskan (tak mahu cerai) nanti lagi panjang.

"Atas nasihat peguam, kami mencapai persetujuan perceraian (hari ini). Insya Allah, anak-anak faham sebab mereka pun sudah besar," katanya kepada Harian Metro dan mahu fokus bekerja untuk meraih pendapatan bagi melunaskan hutang.

Terdahulu, Datuk Red melafazkan cerai terhadap Datin Red di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar, serta difahamkan wanita itu juga tidak menuntut sebarang nafkah kepada bekas suaminya.

Ia berikutan, Datin Red memahami situasi masalah kewangan dihadapi bekas suaminya itu dan dia enggan menyusahkan Datuk Red serta bertekad akan berusaha sendiri mencari pendapatan menyara anak-anaknya.

Sebelum ini, Datin Red memfailkan perceraian terhadap bekas suaminya itu pada penghujung Januari lalu, selain bekas madunya, Adira memfailkan perceraian pada 25 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, ketika prosiding kes cerai mereka pada 18 Mac lalu, Datuk Red enggan menceraikan Datin Red kerana masih mahu menyelamatkan rumah tangga yang sudah lama dibina itu.

Datuk Red yang pernah berkahwin dengan Adira di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 mempunyai empat anak iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 2:23 PM