PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag. FOTO Reuters
PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag. FOTO Reuters
AFP

London: Kelab gergasi bola sepak Inggeris, Manchester United akan menentang pasukan bukan liga, Wrexham yang dimiliki dua bintang Hollywood pada aksi persahabatan di San Diego, 25 Julai depan.

Ia adalah perlawanan pertama dalam siri jelajah anak buah Erik ten Hag di Amerika Syarikat (AS) sebagai persediaan menghadapi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2023/24.

Wrexham yang berpangkalan di Wales dan beraksi di National League - divisyen kelima dalam piramid bola sepak Inggeris - dimiliki dua pelakon Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney sejak 2020.

Musim ini, Wrexham mengatasi jangkaan apabila mara ke pusingan keempat Piala FA sebelum disingkirkan pasukan di bahagian dua, Sheffield United dalam perlawanan ulangan.

Menerusi kenyataan hari ini, 'pasukan mengutamakan pemain remaja United akan mengikuti jelajah itu untuk berdepan Wrexham AFC pada 25 Julai, sebagai kem latihan di San Diego."

Pengurus Wrexham, Phil Parkinson berkata: "Kami menanti peluang untuk bermain di AS buat kali pertama dalam sejarah kelab ini.

"Perlawanan dengan Manchester United akan menjadi sesuatu yang bakal dikenang di Stadium Snapdragon, San Diego."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 12:30 PM