REYNOLDS (kanan) nadi penting dalam kebangkitan pasukan Wrexham. FOTO AFP
REYNOLDS (kanan) nadi penting dalam kebangkitan pasukan Wrexham. FOTO AFP
Reuters

London: Pemilik kelab Wrexham, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney adalah sebahagian daripada kumpulan yang membeli 24 peratus kepentingan dalam pasukan perlumbaan Formula Satu (F1), Alpine Racing.

Perjanjian itu, dianggarkan bernilai AS$218.10 juta (RM1.02 bilion) seperti diumumkan oleh syarikat induk Alpine, Renault.

Reynolds, pelakon yang terkenal dengan filem 'Deadpool' dan McElhenney adalah sebahagian daripada kumpulan yang turut merangkumi Otro Capital dan RedBird Capital Partners.

Reynolds dan McElhenney - bersama rakan pelakon Michael B Jordan - memiliki Maximum Effort Investments.

Pengasas bersama Otro, Alec Scheiner akan menyertai lembaga pengarah Alpine.

Dokumentari 'Welcome to Wrexham' menjadi sangat popular selepas Reynolds dan McElhenney mengambil alih kelab bola sepak Wales itu pada November 2020.

Alpine Racing menduduki tempat keempat dalam kejuaraan F1 tahun lalu dan kini menduduki tempat kelima selepas lapan perlumbaan pada 2023.

Esteban Ocon dan Pierre Gasly adalah pemandu Alpine musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 8:28 AM