AL-Hafiz Harun (tengah). FOTO KDA FC
AL-Hafiz Harun (tengah). FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Al-Hafiz Harun bertekad meneruskan aksi terbaiknya meskipun sedar empat perlawanan yang bakal dilalui skuad Sang Kenari dalam bulan Ramadan ini bakal memberi cabaran lebih sukar.

Bagi pemain itu, empat aksi mencabar menentang Sri Pahang FC pada 1 April, Penang FC (5 April), Johor Darul Ta'zim FC (9 April) dan Kuala Lumpur City (18 April) ketika Ramadan bukanlah alasan untuk dia tidak mencapai tahap prestasi yang diharapkannya pada musim ini.

Malah satu gol yang dijaringkannya ketika Sang Kenari menang ke atas Kelantan United FC di saingan Liga Super dekat Kota Bharu, 13 Mac lalu menjadi pembakar semangat buat dirinya dalam menempuh aksi seterusnya bertemu skuad kendalian Nafuzi Zain.

"Walaupun berbeza dari segi jadual makan disebabkan kita berpuasa di bulan Ramadan, ia sedikit sebanyak memberi cabaran kepada pemain, tetapi saya anggap itu bukan alasan untuk pemain.

"Kami perlu mengambil makan yang seimbang yang disyorkan jurulatih kecergasan untuk memberi tenaga pada aksi malam ketika Ramadan.

"Dengan tempoh liga berehat pada masa ini, saya anggap masa yang sesuai untuk mempertingkatkan keupayaan dan ketajaman terutama di bahagian serangan.

"Secara peribadi, azam saya pada tahun ini adalah untuk meningkatkan lagi tahap serta mutu permainan saya berbanding dengan musim lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 11:11 AM