PEMAIN Perak FC, Muhammad Farris Izdiham (kiri) melepaskan rembatan ke gawang gol lawan ketika bertemu pasukan Kuching City FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak, malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN Perak FC, Muhammad Farris Izdiham (kiri) melepaskan rembatan ke gawang gol lawan ketika bertemu pasukan Kuching City FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak, malam tadi. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kekalahan di tangan Perak FC adalah berpunca daripada kesilapan sendiri, dan bukannya disebabkan keupayaan lawan.

Jelas jurulatih berpengalaman itu, beliau bagaimanapun mengambil sepenuhnya tanggungjawab itu selepas melihat anak didiknya tumbang 0-2 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Malah, ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut dalam Liga Super musim ini selepas tewas 5-0 dan 2-1 kepada Selangor FC dan Sabah FC, biarpun mencatat kemenangan 2-1 pada aksi pertama menentang Kelantan FC.

Katanya, skuad The Bos Gaurus tidaklah beraksi baik namun pasukannya dilihat bermain lebih buruk berbanding tuan rumah.

"Bagi saya Perak tidaklah bermain dengan baik tetapi kami beraksi lebih teruk kerana pemain tidak mengejar bola, lebih kepada 'ball watching' dan kita tidak menyempurnakan peluang yang kita ada dan akhirnya kita dihukum.

"Bagaimanapun, saya mengambil tanggungjawab keatas kekalahan ini. Pemain bukannya beraksi sambil lewa tetapi mereka mengulangi kesilapan yang sama iaitu melihat pasukan lawan memegang bola," katanya sejurus aksi itu.

Dalam aksi itu, dua gol skuad The Bos Gaurus diraih menerusi ledakan pemain muda Korea Selatan, Seo Seo-nung di minit 42 dan 57, sekali gus menyaksikan kedudukan Perak melonjak ke tangga keenam liga setakat ini.

Bagi Kuching City pula, mereka kekal di posisi 10 liga dengan tiga mata, dan akan bertandang ke Alor Setar bagi menentang Kedah Darul Aman FC, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 3:41 PM