PEMAIN Perak FC, Seo Seonung (dua kanan) meraikan gol jaringannya ketika bertemu pasukan Kuching City FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak malam ini. FOTO Bernama
PEMAIN Perak FC, Seo Seonung (dua kanan) meraikan gol jaringannya ketika bertemu pasukan Kuching City FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak malam ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Biar saya buat kerja saya. Beri saya masa, saya akan bagi pasukan yang terbaik sebab ini adalah satu proses."

Demikian kata pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang berharap penyokong bola sepak Perak bersabar dan terus memberi sokongan tidak berbelah buat pasukannya.

Katanya, anak buahnya memerlukan sedikit masa bagi membolehkan mereka tampil lebih garang dan kemenangan 2-0 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak malam tadi adalah permulaan untuk capai tahap terbaik.

Jelasnya, kesabaran itu penting dikala rata-rata pemainnya adalah tonggak berusia 22 tahun ke bawah.

"Ini pasukan baharu, kita kena bersabar. Jika kita letakkan terlalu banyak tekanan kepada pemain, itu tak akan membantu. Mereka hanya dalam lingkungan umur 21 dan 22 tahun.

"Jadi jika kamu nakkan pasukan yang bagus, kena bersabar, peminat kena bersabar," katanya yang akhirnya menikmati rasa kemenangan selepas gagal meraihnya dalam tiga aksi Liga Super sebelum ini.

Dalam aksi itu, dua gol skuad The Bos Gaurus diraih menerusi ledakan pemain muda Korea Selatan, Seo Seo-nung di minit 42 dan 57, sekali gus menyaksikan kedudukan Perak melonjak ke tangga keenam liga setakat ini.

Menurut bekas jurulatih di Akademi Bayern Munich di Jerman itu lagi, sokongan 'ke-12' amat penting dalam memberikan semangat dan motivasi kepada pemain, sekali gus beliau mengharapkan kebanjiran penyokong untuk aksi berikutnya di halaman sendiri.

"Semasa saya main dulu, stadium penuh. Saya tak biasa main stadium tak penuh. Jadi saya mahu penonton datang membantu kami. Kita perlu 'fans' datang seperti dulu. Bagi saya sekarang kemeriahan suasana penyokong berkurang.

"Saya pasti kalau kemeriahan suasana itu ada, ia sesuatu yang bagus untuk membangkitkan semangat dan kesungguhan pemain. Kita perlukan ini semua kerana pemain ke-12 itu penting bagi kami. Saya harap penonton akan datang pada perlawanan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 3:25 PM