PENJAGA gol NSFC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas cedera rahang pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam ini, FOTO MIKAIL ONG
PENJAGA gol NSFC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas cedera rahang pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam ini, FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Hasrat Penang FC mengutip tiga mata pada saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) lebur apabila terikat tanpa jaringan di Stadium Bandaraya, malam ini.

Skuad tuan rumah menguasai perlawanan dengan penyerang tunggal Hassan Saad atau lebih dikenali sebagai Soony, lincah melakukan asakan demi asakan dengan sekurang-kurangnya tiga percubaan tepat ke gawang lawan, namun gagal membuahkan hasil.

Pemain tengah skuad Harimau Kumbang, Rahmat Makasuf turut dilihat beberapa kali berpeluang memecah benteng pertahanan pasukan.

Suasana bertukar cemas apabila penjaga gol NSFC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengalami kecederaan rahang selepas bertembung dengan Rahmat pada minit ke-47.

Pasukan paramedik bersama sebuah ambulans turut kelihatan masuk ke tengah padang dan penjaga gol termuda berusia 20 tahun itu terpaksa dikejarkan ke hospital, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga perlawanan tamat dan menghampakan penyokong Penang FC pada aksi pertama di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 11:48 PM