Aksi persahabatan antara Skuad B-23 menentang NSFC. FOTO Ihsan FAM
Aksi persahabatan antara Skuad B-23 menentang NSFC. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara Brad Maloney mengakui masih tidak mendapat bayangan barisan pemain terbaik untuk dibawa mengharungi perlawanan Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Walaupun berbaki kira-kira dua minggu sebelum kejohanan itu berlangsung, Brad mengharapkan dua perlawanan persahabatan menentang Penang FC dan Kedah Darul Aman ada peningkatan positif membabitkan barisan anak buahnya.

Brad berkata, ketika ini beliau tidak dapat membentuk gandingan terbaik memandangkan enam pemain lain antaranya Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Hakimi Abdullah dan Quentin Cheng belum lagi dapat menyertai pasukan berikutan perlu menjalani kuarantin sebaik menyertai perlawanan persahabatan bersama skuad senior di Amman, Jordan.

"Kita masih berusaha untuk mendapatkan barisan pemain terbaik dengan semuanya ada harapan untuk dipilih dalam senarai terakhir.

"Berbaki dua perlawanan persahabatan sudah tentu banyak perkara perlu diperbaiki dan berharap pemain menunjukkan peningkatan berbanding menentang Negeri Sembilan," katanya.

Pada aksi persahabatan di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya, semalam, skuad B-23 terpaksa akur dengan kekalahan 1-2.

Gol tunggal skuad negara dijaringkan seawal minit ke-11 menerusi percubaan Azhad Harraz Arman yang gagal ditampan kemas penjaga gol Damien Chien.

NSFC akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-46 selepas Alain Akono memanfaatkan kesilapan penjaga gol gantian, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya sebelum pemain tengah NSFC, R Barathkumar menjaringkan gol kedua pada minit ke-81.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:18 PM