HAMIDIN titip nasihat buat skuad wanita negara. -FOTO Ihsan FAM
HAMIDIN titip nasihat buat skuad wanita negara. -FOTO Ihsan FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bola sepak wanita bawah 20 (B-20) tahun negara diingatkan untuk memberi aksi terbaik pada aksi pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024 di Phnom Penh, Kemboja, 8 Mac ini.

Ingatan itu diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Haji Mohd Amin yang hadir pada aksi persahabatan tertutup di antara skuad Malayan Tigress itu menentang SSS Leopards di Padang Wisma FAM, semalam.

"Sebagai pemain bola sepak wanita kebangsaan, komitmen serta kesungguhan anda ketika latihan dan perlawanan adalah kunci kepada kejayaan pasukan.

"Tiada apa yang mustahil, jadi berikan terbaik di Phnom Penh dan saya doakan kejayaan mengiringi perjalanan skuad Malayan Tigress B-20," katanya.

Turut hadir menyaksikan perlawanan persahabatan tertutup itu antaranya Ahli Jawatankuasa FAM merangkap Pengerusi Bolasepak Wanita, Datuk Suraya Yaacob dan timbalannya merangkap pengurus pasukan Malayan Tigress B-20, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Selain itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman turut hadir bersama pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan Ketua Unit Bolasepak Wanita FAM, Soleen Al-Zoubi.

Skuad wanita B-20 kendalian Cameron Ng itu diundi dalam Kumpulan G bersama tuan rumah Kemboja dan Myanmar.

Aksi pertama dijadual berdepan Kemboja pada 10 Mac ini diikuti perlawanan terakhir dengan Myanmar dua hari kemudian, di mana kedua-dua aksi berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 1:19 PM