SOLEEN memberi arahan kepada barisan pemain negara. FOTO Bernama
SOLEEN memberi arahan kepada barisan pemain negara. FOTO Bernama
Oleh Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Kegagalan di pentas Sukan Sea Kemboja 2023 dianggap bukan pengakhiran buat skuad bola sepak wanita negara.

Ketua jurulatih skuad wanita, Soleen Al-Zoubi mahu anak buahnya menutup buku mengenai apa yang terjadi di Phnom Penh yang menyaksikan mereka gagal meraih sebarang mata.

Dia berkata, barisan pemain Malayan Tigress sudah memberikan yang terbaik dan menganggap aksi terakhir Kumpulan A menentang Myanmar, semalam sebagi perlawanan paling sukar.

"Kita mengharungi dua perlawanan awal yang sukar ketika bertemu Vietnam dan Filipina. Justeru, perlawanan menentang Myanmar, aksi yang dipamerkan pemain agak longlai.

"Namun, ini bukan pengakhiran kerana jika kita lihat pada rekod, kami menghantar pasukan yang paling muda selain pemain juga tidak memiliki pengalaman antarabangsa.

"Bukan mudah untuk mereka bersaing dengan pasukan yang lebih berpengalaman di Asia Tenggara tetapi mereka sudah berikan yang terbaik," katanya.

Malayan Tigress menamatkan aksi peringkat kumpulan di kedudukan tercorot apabila tewas semua perlawanan dengan Vietnam dan Myanmar melangkah ke separuh akhir.

Selain itu, Pengendali dari Jordan menjelaskan, fokusnya selepas ini terarah kepada saingan liga kompetitif bola sepak wanita yang akan diperkenalkan tidak lama lagi dan ia dianggap medan untuk mencungkil bakat baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 1:48 PM