AKSI Heung-Min ketika bertemu Marseille. FOTO EPA
AKSI Heung-Min ketika bertemu Marseille. FOTO EPA
AFP

London: Penyerang Tottenham, Son Heung-min menegaskan tidak bimbang masih kemarau jaringan ketika bintang Korea Selatan itu sedang berusaha untuk kembali kepada prestasi terbaiknya.

Heung-min menjaringkan 12 gol dalam 14 penampilan terakhirnya musim lalu untuk memenangi Kasut Emas Liga Perdana bersama-sama bintang Liverpool, Mohamed Salah selepas meledak 23 gol.

Pemain berusia 30 tahun itu gagal menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan pembukaan Tottenham musim ini dan masih lagi buntu meledak gol ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Marseille di saingan Liga Juara-Juara.

Prestasi buruk Heung-min itu bagaimanapun tidak menyebabkannya kehilangan tempat dalam pasukan bimbingan Antonio Conte dan dia yakin sekiranya dapat meledak gol pertama, ia akan memulakan kempennya memburu lebih banyak jaringan.

"Saya ok. Jika saya tidak mendapat peluang ketika beraksi, pasti saya akan berasa bimbang tetapi saya masih mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.

"Dalam beberapa perlawanan, terdapat detik-detik sukar. Ada perlawanan dengan penamat buruk. Apapun ia menjadikan saya lebih kuat.

"Saya melihat situasi ketika ini sebagai peluang untuk memperbaiki diri kerana sememangnya masih banyak lagi yang saya perlu perbaiki.

"Paling penting ialah kami bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Saya akan berusaha melakukan apa yang diperlukan oleh pasukan.

"Dalam beberapa perlawanan saya benar-benar kecewa kerana saya mempunyai beberapa untuk menjaringkan gol tetapi bola tidak masuk. Saya hanya boleh tersenyum.

"Tetapi saya tidak bimbang mengenainya kerana pasukan dan kakitangan serta semua peminat sentiasa memberi sokongan kepada saya.

"Saya fikir jika saya dapat menjaringkan satu gol, keyakinan saya akan kembali dan harap dapat menjaringkan lebih banyak gol selepas itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 9:27 AM