VAN Dijk kembali pulih daripada kecederaan hamstring. FOTO AFP
VAN Dijk kembali pulih daripada kecederaan hamstring. FOTO AFP
Reuters

Liverpool: Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk boleh disenaraikan dalam kesebelasan utama perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United Ahad ini selepas sembuh dari kecederaan hamstring.

Perkara itu disahkan oleh jurulatih Liverpool, Juergen Klopp selepas lebih sebulan tidak dapat menggunakan khidmat Van Dijk.

Ketua pasukan Belanda itu dikeluarkan pada separuh masa ketika kalah 1-3 kepada Brentford awal Januari lalu.

Dia kembali berada di bangku simpanan Liverpool ketika mereka menang 2-0 ke atas seteru setempat, Everton Selasa lalu.

Apabila ditanya adakah Van Dijk boleh diletakkan dalam kesebelasan utama, Klopp memberitahu wartawan ia mungkin akan berlaku.

"Semalam dia kelihatan sudah bersedia dan hari ini saya rasa dia akan menunjukkan perkara sama.

"Selepas itu kami akan membuat keputusan," kata Klopp.

Liverpool sekarang ini menghuni tangga kesembilan dengan mengumpul 32 mata selepas memulakan saingan dengan dihimpit masalah prestasi buruk dan kecederaan.

Lawan mereka, Newcastle sebaliknya berdepan situasi berbeza apabila menghuni tangga keempat dan bersaing merebut slot ke Liga Juara-Juara selepas mengharungi aksi 17 perlawanan liga tanpa kalah

Mereka hanya tumpas sekali musim ini iaitu tumbang 1-2 di tangan Liverpool Ogos lalu.

Klopp memberi pujian kepada rakan sejawatannya, Eddie Howe untuk pemulihan 'luar biasa' di St James' Park.

"Ini adalah pertarungan besar-besaran. Jika anda mahu mencapai sesuatu musim ini, kami perlu mengejar semua orang, terutamanya mereka yang mendahului kami dalam senarai," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 10:02 PM