VIRGIL VAN DIJK
VIRGIL VAN DIJK
Agensi

LIVERPOOL: Tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk dilaporkan bergelut untuk cergas menjelang aksi Liga Perdana menentang Leicester City, awal pagi Khamis ini.

Pertahanan kebangsaan Belanda itu beraksi dalam kesemua 23 perlawanan liga untuk Reds pada musim ini, tetapi dia tidak kembali menjalani latihan penuh selepas mengalami masalah kesihatan ketika menjalani kem latihan di Dubai.

Menurut laporan Liverpool Echo, Van Dijk akan diberikan segala bantuan untuk membuktikan kecergasan menjelang aksi melawan Leicester di gelanggang sendiri, dalam usaha pasukan itu meneruskan pemburuan kejuaraan liga.

Liverpool ketika ini memiliki kelebihan empat mata di puncak liga dengan penyandang juara, Manchester City menjadi pencabar paling hampir dan akan bermain sehari lebih awal bertemu Newcastle, (awal pagi esok). 

Setakat ini, Van Dijk beraksi cemerlang dan menjadi antara tonggak Liverpool pada musim ini bagi membantu skuad kendalian Jurgen Klopp menghuni tangga teratas liga.  

Jika Van Dijk, 27, tidak dapat disenaraikan, tempatnya mungkin akan digantikan dengan pemain Croatia, Dejan Lovren, yang baru pulih daripada kecederaan hamstring untuk bergandingan bersama Joel Matip.

Begitupun, Leicester pastinya lawan yang sukar selepas juara musim 2015/16 itu sudah mengharungi dua kekalahan liga berturut-turut setakat ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 1:27 PM