VAN Dijk (tengah) sertai Liverpool dengan yuran perpindahan  RM416 juta bulan lalu.
VAN Dijk (tengah) sertai Liverpool dengan yuran perpindahan RM416 juta bulan lalu.
AFP

London: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp terhibur dengan pandangan bekas kapten kelab itu, Jamie Carragher yang mencadangkan pemain baru, Virgil van Dijk perlu lebih kurus bagi mengembalikan semula prestasi terbaiknya.

Carragher memberitahu Sky Sports dalam program ‘The Debate’ betapa pemain pertahanan termahal dunia itu “perlu mengurangkan sedikit beratnya.”

“Saya yakin Jamie perlu mengurangkan sedikit beratnya tapi bukannya Virgil,” kata Klopp semalam.

“Dia pemain yang besar dan tinggi, itulah dirinya. Kami mempunyai jabatan nutrisi terbaik dan tiada sesiapapun datang kepada saya dan berkata kami perlu melakukan itu kepadanya.”

Van Dijk dari Belanda, yang menyertai Liverpool dengan yuran perpindahan AS$107 juta (RM416 juta) bulan lalu bersedia untuk disenarai semula dalam kesebelasan utama Klopp bagi aksi penting menentang Tottenham Hotspur, awal pagi esok.

Bekas pemain Southampton itu direhatkan Selasa lalu apabila Reds menewaskan Huddersfield 3-0 di tempat lawan.

Liverpool yang ketika ini menghuni tangga ketiga memiliki kelebihan dua mata di atas Tottenham yang berada di tangga kelima dan mempunyai misi balas dendam susulan kekalahan 1-4 di Wembley pada aksi terakhir Oktober lalu.

Van Dijk dijangka akan mengambil tempat Dejan Lovren yang digantikan selepas 31 minit di Wembley selepas pemain dari Croatia itu tampak sukar untuk mengekang gerakan Harry Kane.

Selain itu, Klopp turut mempertahankan persembahan Van Dijk di Anfield setakat ini susulan kekalahan mengejut kepada Swansea dan West Brom sejak dia menjaringkan gol pada penampilan pertama dalam aksi tetangga Merseyside bertemu Everton.

“Ia benar-benar seperti yang saya jangkakan akan berlaku. Beberapa tempoh naik dan turun,” kata Klopp.

“Anda akan melihat Virgil van Dijk di prestasi terbaiknya pada musim panas nanti tapi anda tidak mempunyai masa untuk menunggu dan mengapa kami perlu menunggu? Dia sudah memberi banyak bantuan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 4:04 AM