KANE bakal memikul tugas penting buat England di Piala Dunia Qatar 2022. FOTO Reuters
KANE bakal memikul tugas penting buat England di Piala Dunia Qatar 2022. FOTO Reuters
AFP

Nottingham: Kapten England, Harry Kane dijangka beraksi bersama Tottenham pada aksi Piala Liga Inggeris menentang Nottingham Forest, awal pagi esok, sekalipun Piala Dunia akan bermula dua minggu lagi.

Kane diturunkan setiap perlawanan untuk Tottenham, musim ini dan hanya terlepas 14 minit aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), setakat ini.

Kunjungan ke City Ground untuk aksi pusingan ketiga pada kejohanan domestik kurang ternama ini mungkin peluang terbaik buat Tottenham merehatkan penyerang utama mereka itu.

Bos England, Gareth Southgate sudah pasti mahu penggempur itu berada dalam keadaan terbaik dan tidak cedera sebelum aksi di Qatar 2022.

Tetapi, sambil menegaskan bukan tugas pengurus Tottenham, Antonio Conte untuk melindungi Kane bagi tugasan bersama England, pembantu ketua jurulatih kelab, Cristian Stellini berkata, penyerang berusia 29 tahun itu bersaing untuk diturunkan menentang Forest.

"Keputusan (sama ada menurunkan Kane atau sebaliknya) akan dibuat Antonio kerana dia kesuntukan masa selepas perlawanan terakhir untuk menganalisis tenaga pemain yang mahu digunakan pada aksi seterusnya," kata Stellini.

"Antonio akan bercakap dengan semua pemain dan membuat keputusan terbaik untuk pasukan, tetapi ini adalah perlawanan serta piala penting dan kami mahu menang.

"Saya mahu lihat Harry Kane dalam setiap perlawanan. Keputusan bergantung kepada Antonio, tetapi saya cintakan bola sepak dan mahu melihat pemain berbakat beraksi dan Harry Kane adalah pemain berbakat menyebabkan saya berharap dia bermain setiap perlawanan di setiap kejohanan untuk Tottenham."

Menjelang kunjungan ke Newcastle pada aksi penting EPL, hujung minggu ini, Stellini berkata, Conte dan staf kejurulatihan akan membuat yang terbaik untuk kelab di utara London itu, bukan untuk England.

"Kami tidak fikir mengenai Piala Dunia, itu bukan tugas kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 2:19 PM