CONTE menjalani pembedahan pundi hempedu 1 Februari lalu. FOTO AP
CONTE menjalani pembedahan pundi hempedu 1 Februari lalu. FOTO AP
AFP

London: Pengurus Tottenham Antonio Conte tidak sabar untuk kembali berada di tepi garisan biarpun dinasihatkan untuk berehat lebih lama oleh kakitangan perubatan selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.

Conte kini berada di Itali dan tidak akan berada di garisan tepi padang menjelang pertembungan Liga Perdana menentang West Ham Ahad ini selepas terpaksa menjalani pembedahan pundi hempedu 1 Februari lalu.

Pengendali berusia 53 tahun itu kembali bekerja lapan hari selepas prosedur perubatannya dan bertanggungjawab atas kekalahan Tottenham kepada Leicester dan AC Milan.

Namun Conte mengakui bahawa dia kembali bertugas terlalu cepat dan dia sebenarnya memerlukan lebih banyak masa untuk pulih sepenuhnya.

Penolong Conte, Cristian Stellini mengambil alih tugas sebagai jurulatih sementara berjaya membawa pasukan itu melakar kemenangan 1-0 ke atas Manchester City baru-baru ini, biarpun Conte bertegas mahu kembali lebih cepat.

"Kesihatan lebih penting daripada bola sepak dan inilah sebab mengapa kelab, Antonio dan doktor memutuskan untuk mengambil tanggungjawab ini dan meninggalkan Antonio di Itali selepas perlawanan terakhir," kata Stellini.

"Kami tidak tahu bilakah dia akan kembali. Dia perlu berehat. Kami menerima panggilan setiap hari, berkali-kali dalam sehari, mungkin tiga kali sehari dan setiap kali panggilan dia mengatakan mahu kembali.

"Dia mengulangi setiap hari, 'Saya mahu kembali Cristian, saya minta maaf tetapi bagaimana latihan, esok kita perlu mengatur sesuatu, kita perlu mengatur pasukan, apa yang anda rasa, apa yang anda fikirkan,' dia tetap mahu kembali bertugas. Itulah ayatnya setiap kali membuat panggilan."

Stellini menjalankan tugas dengan baik dan mengetuai kemenangan ke atas City dan juga kemenangan Liga Juara-Juara menentang Marseille ketika pengendali Itali itu digantung daripada berada di garisan tepi padang awal musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 9:34 AM