PRESIDEN Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemelut antara Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) belum menemui noktah apabila perjumpaan yang sepatutnya dihadiri kedua-dua pihak, Khamis lalu, tidak berlangsung seperti dirancang.

Situasi terbabit diakui Presiden Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang memaklumkan wakil daripada PSM tidak hadir pada perjumpaan itu, sekali gus gagal mencari titik penyelesaian antara mereka.

"Mesyuarat itu dibatalkan kerana PSM tak hadir. Saya pada ketika itu diwakili timbalan presiden dan setiausaha agung.

"Namun PSM membatalkannya di saat akhir dan (diberitahu) tak boleh hadir kerana sibuk," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyatakan kedua-dua pertubuhan itu akan duduk semeja bagi mencari kata putus berhubung kemelut melanda sejak sekian lama.

Norza berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh wakil daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk ketetapan kedua-dua belah pihak bermesyuarat pada minggu lalu.

Sebelum ini, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menyatakan kesediaan untuk melakukan 'rundingan damai', namun bersyarat dengan Mastaf bagi meleraikan kemelut antara dua badan induk berkenaan.

Begitupun, Suhaili ketika mengulas perkara itu menyatakan PSM seolah-olah 'banyak alasan' menyebabkan gagal mendapat kata sepakat.

"Saya sudah berbincang dengan Presiden PSM dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang cuba mencari jalan keluar daripada kemelut sepak takraw ini.

"Tetapi PSM banyak dolak dalik. Jadi keputusan kita, boleh diterima tetapi dengan terma dan syarat kami bukan dengan terma atau syarat kamu."

Dalam pada itu, Suhaili turut memaklumkan Mastaf berjaya membuktikan keupayaan sebagai entiti yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan aspek pengurusan teknikal untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-20.

Beliau berkata, Mastaf menyambut kepercayaan daripada MSN sebagai satu cabaran kebaikan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ASTAF (Persekutuan Sepak Takraw Asia) dan ISTAF (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) sentiasa memelihara imej dan maruah kerabat negara anggotanya.

"ASTAF dan ISTAF sentiasa berusaha membantu memastikan penganjuran kejohanan di negara anggota bertaraf dunia sesuai dengan standard dua badan berkenaan sebagai badan induk sepak takraw dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 5:25 PM