TEONG Kim pada sidang media hari ini. FOTO Perak Football Club
TEONG Kim pada sidang media hari ini. FOTO Perak Football Club
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perak FC dibentuk bukan sekadar untuk bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebaliknya mempunyai misi lebih besar mahu menjadi 'pembekal' melahirkan pemain berkualiti buat skuad negara.

Perkara itu dinyatakan pengendali skuad The Bos Gaurus, Datuk Lim Teong Kim apabila mahu peminat setiap Perak FC bersabar menanti 'benih' yang akan kembang mekar tidak lama lagi.

Katanya, beberapa episod kekalahan dalam aksi pramusim sebelum ini tidak boleh dijadikan rumusan mengenai keupayaan pasukannya.

Sebaliknya, beliau masih menguji pemain-pemain termasuk aksi menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras malam esok, bagi merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan akan dijadikan eksperimen terbaik buatnya.

"Saya lakukan demi masa depan kerana jika pemain muda tidak diberikan peluang bermain, bagaimana pasukan kebangsaan kita hendak maju.

"Ini adalah masalah kepada dunia bola sepak bukan sahaja di Malaysia tetapi melanda beberapa negara Eropah seperti England, Itali dan Jerman dan saya tidak mahu perkara seperti ini berulang kerana kepentingan sebagai jurulatih adalah secara keseluruhan dan bukannya keputusan perlawanan sahaja.

"Saya juga melihat kepada persembahan individu dengan keputusan perlawanan sama ada menang atau kalah jatuh ke tangga kedua.

"Setakat ini para pemain menunjukkan persembahan individu yang baik dan saya tidak mempunyai masalah tentangnya cuma ada beberapa perkara yang perlu para pemain sesuaikan diri," katanya pada sidang media saingan itu.

Begitupun bekas jurulatih Akademi Bayern Munich di Jerman itu berkata lagi, beliau tetap mengidamkan aksi terbaik daripada anak buahnya apabila turun bertemu KL City nanti.

"Perak FC akan bermain dengan corak permainan yang menarik kerana kami mahu menghiburkan para penyokong.

"Ini kerana mereka menuntut aksi yang baik dari setiap pemain dan pemain perlu berikan mereka kepuasan dengan permainan yang menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 4:15 PM