PERAK FC menyatakan bahawa Teong Kim dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih. FOTO L MANIMARAN
PERAK FC menyatakan bahawa Teong Kim dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih. FOTO L MANIMARAN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengurusan Perak FC menafikan kelab itu berhutang dengan mana-mana pemain, pegawai mahupun kepada bekas jurulatih pasukan iaitu Datuk Lim Teong Kim.

Menerusi satu kenyataan media, Perak FC juga tidak pernah menahan gaji pasukan termasuk Teong Kim yang sebelum ini menuntut baki pampasan kontraknya.

Malah menurut kelab itu, segala proses penamatan kontrak Teong Kim sebenarnya sedang diuruskan pihak peguam Perak FC dan ia akan diselesaikan tidak lama lagi.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, Perak FC ingin menyatakan bahawa Datuk Lim Teong Kim dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih, dan perkara ini kini berada di pihak peguam kelab untuk diselesaikan.

"Perak FC ingin menjelaskan bahawa pihak kelab tidak menahan atau berhutang sebarang bayaran kepada mana-mana pekerja, pemain atau jurulatih sehingga kini," kata kelab itu.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Teong Kim tampil di Jabatan Perhubungan Perusahaan, di Ipoh bagi menuntut pampasan baki kontrak yang belum dijelaskan Perak FC selepas memecatnya pada 25 Mei lalu.

Jelas bekas jurulatih akademik Bayern Munich di Jerman itu, beliau bersama peguamnya hadir di Jabatan Perhubungan Perusahaan bagi membuat representasi berkenaan pemecatan yang tidak sah di bawah Seksyen 20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Sebelum ini, pada 25 Mei lalu Perak FC mengumumkan bahawa Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super itu berkuat kuasa serta-merta dan keputusan itu susulan aksi hambar Bos Gaurus.

Untuk rekod, Perak hanya memenangi dua perlawanan Liga Super selain seri tiga kali dan tewas tujuh kali di bawah kendalian Teong Kim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 3:02 PM