PEMAIN KL City, Paulo Josue Sturmer Dos Reis ketika beraksi menentang pemain Sabah FC pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Kuala Lumpur malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN KL City, Paulo Josue Sturmer Dos Reis ketika beraksi menentang pemain Sabah FC pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Kuala Lumpur malam tadi. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan mengutip tiga mata pertama selepas gagal melakukannya dalam lima aksi terdahulu bakal dijadikan azimat terbaik untuk Kuala Lumpur City FC (KL City) membina keyakinan dan momentum pada aksi Liga Super selepas ini.

Perkara itu diakui pengendali KL City, Bojan Hodak yang menganggap kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam tadi sangat diperlukan oleh pasukannya.

Katanya, pemain akan tampil lebih berkeyakinan apabila dijadual menentang Perak FC di halaman sendiri, Isnin ini.

"Kemenangan pertama adalah amat penting lebih-lebih lagi dengan cara kita keciciran mata sebelum ini contohnya ketika menentang Penang dan Kelantan.

"Kita beri ruang kepada pihak lawan untuk bangkit selepas mendahului, jadi dengan kemenangan tanpa bolos hari ini saya rasa ia akan memberi keyakinan kepada barisan pertahanan," katanya selepas aksi itu.

Dua gol kemenangan tuan rumah diraih menerusi T Saravanan di minit 15 sebelum Sean Gianneli menambah gol kedua pada masa kecederaan babak kedua.

Ujar Hodak lagi, beliau mahu pemainnya mengambil kesempatan mengutip sebanyak mungkin mata pada baki aksi Liga Super selepas ini kerana naib juara Piala AFC musim lalu itu akan bertemu pasukan sederhana selepas ini.

Jelasnya, sebelum ini KL City terpaksa berdepan pasukan yang baru tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), di mana sudah pastinya pasukan terbabit ingin bangkit dan bermain lebih baik pada perlawanan seterusnya.

"Bagi saya kita tidak bernasib baik kerana sentiasa bertemu pasukan lawan yang baru selesai menentang JDT dan dibelasah.

"Jadi apabila mereka lawan kami pada perlawanan berikutnya, pengurusan akan tekan mereka jadi mereka akan bermain bersungguh-sungguh untuk buktikan mereka bukan tak bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 3:43 PM