PEMAIN KL City, Herlison Caion (kiri) diasak pemain Perak, Shivan Pillay Asokan pada perlawanan malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN KL City, Herlison Caion (kiri) diasak pemain Perak, Shivan Pillay Asokan pada perlawanan malam tadi. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kurang pengalaman faktor mengapa Perak FC tewas 0-3 kepada naib juara Piala AFC musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini, malam tadi.

Rumusan itu dinyatakan pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang akui pemainnya sudah memberikan aksi terbaik namun disebabkan kurangnya pengalaman menyaksikan beberapa kesilapan kecil berlaku, hingga mengakibatkan pasukan tumbang dengan jaringan besar.

Menurut bekas jurulatih akademi Bayern Munich di Jerman dari 2001-2013 itu, walaupun kalah tetapi beliau yakin pemain muda akan meraih sesuatu sekali gus memperbaiki kelemahan.

"Kalau ikut keputusan nampak pasukan seperti kurang baik. Jika penyokong yang tidak menonton perlawanan ini mereka akan jangkakan ia adalah perlawanan yang mudah untuk KL City tetapi sebaliknya berlaku di dalam padang.

"Saya kecewa dengan keputusan ini kerana margin jaringan yang terlalu besar dan tidak sepatutnya berlaku.

"Tetapi saya tidak kecewa dengan corak permainan kami kerana banyak perkara positif dapat dilihat seperti cara bermain yang menarik serta cuba mencipta peluang.

"Pemain sudah lakukan segalanya dari segi persembahan dan saya berterima kasih kepada pemain. Pengalaman sememangnya berbeza antara dua pasukan ini.

"Namun perlawanan ini memberi saya harapan untuk membina pasukan menjadi lebih matang dan tidak lakukan kesilapan yang sama sekali lagi kerana semua gol yang dilepaskan adalah atas sebab kenaifan pemain dan mereka perlu belajar supaya tidak mengulanginya lagi," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi itu, tiga tonggak import KL City iaitu Herlison Caion, Paulo Josue dan Giancarlo Gallifuoco mencetak nama selaku penjaring.

Dengan kemenangan itu, skuad Warga Kota merampas kembali trofi berkenaan yang dimenangi pada 2021 sebelum tumbang kepada Negeri Sembilan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 4:27 PM