SKUAD Gergasi Merah kini di tangga kelima Liga Super. FOTO Selangor FC
SKUAD Gergasi Merah kini di tangga kelima Liga Super. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC tetap fokus memburu kemenangan dalam aksi ke-11 saingan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok sekali gus bakal dinobatkan sebagai 'Raja Lembah Klang'.

Pengendali pasukan, Michael Feichtenbeiner berkata, beliau mahu pemain mengekalkan rentak kemenangan seperti mana ketika cemerlang menundukkan Penang FC 2-0 di halaman sendiri Sabtu lalu.

Malah, kejayaan menundukkan KL City 1-0 di pusingan kedua Piala FA pada 8 Julai lalu bakal dijadikan azimat berguna untuk sekali lagi menewaskan jiran tetangga itu.

"Saya nak fokus kepada pasukan saya dan kita akan bangkit bersama dan harungi satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami ada jadual yang cukup padat bermula minggu ini, di mana dalam dua ke tiga hari akan ada satu perlawanan, dan saya fokus kepadanya.

"Saya fokus untuk aksi menentang KL City sekarang, ia aksi yang sukar menentang KL City dan ini tugas saya (untuk pastikan kemenangan)," katanya yang berasal dari Jerman.

Ketika ini, skuad Red Giants berada di tangga kelima liga dengan 15 mata selepas 10 aksi dengan merekodkan empat kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan, manakala KL City pula hanya dipisahkan satu mata di belakang Selangor dengan 14 mata dan berpeluang memintas lawannya itu jika mampu melakar tiga mata maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 5:24 PM