ZAQUAN Adha mahu memastikan reputasi Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super dapat dipertahankan. FOTO MOHD AMIN JALIL
ZAQUAN Adha mahu memastikan reputasi Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super dapat dipertahankan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun belum dapat membawa masuk pemain import yang dihajati, namun skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) terus komited dalam membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Malah pemain tempatan sedia ada dan yang baharu dibawa masuk mengakui sudah mendapat membentuk keserasian yang baik antara satu sama lain selain dapat memahami segala taktikal diketengahkan ketua jurulatih, K Devan, apabila diuji dalam tiga aksi persahabatan.

Kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak akui aksi pemanas badan yang diadakan setakat ini jelas memberikan impak positif kerana dapat memberi peluang kepada setiap pemain membentuk keserasian dan persefahaman yang baik antara satu sama lain.

Menurutnya, komitmen dan kesungguhan mereka tidak harus dipersoal kerana semua pemain sentiasa memberikan fokus kepada usaha meningkatkan prestasi dan memantapkan pasukan.

"Terima kasih kepada rakan-rakan pemain terutama yang baharu menyertai pasukan, jelas mereka memberikan komitmen tinggi bukan saja ketika latihan malah dalam perlawanan persahabatan.

"Walaupun keputusan dalam aksi persahabatan tak berapa baik kerana kami tampil tanpa pemain import berbanding pasukan lawan, namun yang penting prestasi pasukan menunjukkan kemajuan.

"Kami akan menggunakan ruang waktu yang ada untuk menunjukkan kemampuan sebenar dalam pasukan ini dan memastikan keputusan yang lebih baik dicapai sebelum aksi liga bermula," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Skuad Hobin Jang Hobin membawa masuk 12 pemain tempatan baharu termasuk kalangan bekas pemain kebangsaan dan berpengalaman bagi menghadapi kempen musim ini yang bakal membuka tirainya 24 Februari.

Setakat ini, Negeri Sembilan sudah mengadakan tiga aksi pemanas badan iaitu menentang Penang FC, Kelantan FC dan Terengganu FC.

Menurut Zaquan Adha, dia dan rakan sepasukan akan memastikan prestasi pasukan kali ini dapat dipertahankan seperti mana apa yang dicapai mereka pada musim lalu.

"Bagi kami pemain tempatan kena bersedia 100 peratus dari segi kekuatan fizikal dan mental sebelum saingan liga musim ini bermula.

"Ini penting untuk memastikan kami dapat bersedia menggalas cabaran pasukan dan memastikan keputusan cemerlang dicapai.

"Soal pemain import sama ada akan diambil atau sebaliknya, biar pihak pengurusan kelab yang menentukannya," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Pemain kebangsaan dan berpengalaman yang berjaya diserapkan dalam pasukan itu musim ini antaranya Muhamad Shahrel Fikri Mohd Fauzi, Mahali Jasuli, R Aroon Kumar, R Barathkumar, Mohd Hasbullah Abu Bakar, Tommy Mawat Bada, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Farid Nezal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 1:14 PM