HAMIDIN bersama Putera Ali di Jordan. FOTO FAM
HAMIDIN bersama Putera Ali di Jordan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bola sepak kebangsaan bakal mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan ranking 84 dunia iaitu Jordan bagi meningkatkan mutu dan kualiti pasukan bukan sahaja untuk skuad utama Harimau Malaya, malah untuk kesemua pasukan di bawah kendalian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perkara itu dikongsikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang ketika ini berada di Jordan untuk kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Jordan (JFA), Putera Ali Bin Al Hussein.

Pertemuan kedua-dua tokoh itu bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala Malaysia-Jordan termasuk mengenai pembangunan bola sepak Malaysia terutama bola sepak wanita dan akar umbi yang perlu diberi lebih penekanan dengan beberapa pendekatan strategik.

"Terima kasih kepada Putera Ali yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Jordan.

"Kita juga merancang mengadakan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan dengan Jordan merangkumi semua peringkat umur, termasuk skuad kebangsaan wanita, futsal dan bola sepak pantai di bawah kalendar Fifa nanti.

"Saya optimis perbincangan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang," katanya.

Malah untuk rekod, Putera Ali juga adalah Presiden Persekutuan Bolasepak Asia Barat (WAFF) sekali gus FAM mahu mengeratkan hubungan dengan negara anggota WAFF.

"Kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan dan potensi kerjasama dua hala dalam bola sepak bukan saja antara Jordan malah antara negara Asia Barat di bawah WAFF," katanya.

Hadir sama Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Haji Rahman manakala Putera Ali ditemani Setiausaha Agung JFA, Samar Nassar dan Setiausaha Agung WAFF, Khalil Al-Salem.

Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zou'bi yang berasal dari Jordan juga dilihat mampu mengukuhkan lagi hubungan dua hala ini.

Soleen sebelum ini ialah Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di JFA melapor diri di Wisma FAM pada 1 Disember lalu.

Sementara itu, WAFF berpusat di Amman ialah badan penggendali bola sepak di Asia Barat di bawah AFC dan FIFA.

WAFF mempunyai 12 negara anggota iaitu Jordan, Qatar, Bahrain, UAE, Palestin, Iraq, Kuwait, Lubnan, Oman, Arab Saudi, Syria dan Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 9:24 PM