AKSI Ronaldo ketika bertemu Al-Shorta. FOTO AFP
AKSI Ronaldo ketika bertemu Al-Shorta. FOTO AFP
Agensi

Riyadh: Cristiano Ronaldo hanya selangkah lagi untuk menjulang trofi kejuaraan sulung sebagai kapten kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr.

Bintang serangan Portugal itu meledak gol tunggal kali ini menerusi sepakan penalti sekali gus membantu mereka menundukkan juara Iraq, Al-Shorta 1-0 untuk mara ke final Piala Juara-Juara Kelab Arab di Stadium Putera Sultan Abdul Aziz di Abha, Arab Saudi awal pagi tadi.

Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-75 selepas rakan sepasukan baharunya Sadio Mane dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain Al-Shorta, Faisal Al-Manaa ketika bekas bintang Liverpool dan Bayern Munich itu seolah-olah menari melepasi benteng pertahanan lawan.

Pengadil Adel Ali Al-Naqbi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awalnya enggan memberikan sepakan penalti tetapi akhirnya memutuskan sebaliknya selepas menganalisis video bantuan pengadil (VAR).

Ronaldo tenang menyempurnakan sepakan penalti itu mengatasi penjaga gol lawan Ahmed Basil yang sudah tersalah arah ketika dia melayangkan badan ke sebelah kanan manakala sepakan Ronaldo ditujukan ke arah kirinya.

Ia gol keempat Ronaldo pada kejohanan itu selepas menjaringkan masing-masing satu gol dalam empat perlawanan terakhir bermula aksi kedua peringkat kumpulan.

Pada awal babak pertama, kelab Liga Pro Saudi itu berasakan mereka sudah mendahului apabila Ronaldo menyambut satu lorongan cantik dan merembat masuk melepasi penjaga gol tetapi pengadil membatalkannya kerana ofsaid.

Gol tunggal itu ternyata memadai membawa Al-Nassr ke final pertandingan itu menentang satu lagi kelab Arab Saudi, Al-Hilal di Taif pada awal pagi Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 10:19 AM