Penyerang Argentina, Lionel Messi menjalani latihan menjelang aksi final. FOTO AP
Penyerang Argentina, Lionel Messi menjalani latihan menjelang aksi final. FOTO AP
AFP

Doha: Argentina melakukan persediaan berdepan juara bertahan, Perancis pada final Piala Dunia dengan Lionel Messi berusaha menobatkan kariernya dengan memecahkan rekod memenangi hadiah terbesar bola sepak buat kali pertama pada aksi perpisahannya di kejohanan itu.

Selepas 63 perlawanan dan 166 gol, saingan bola sepak yang membabitkan hampir sebulan itu berada di kemuncak di Doha dengan Stadium Lusail yang boleh memuatkan kapasiti 89,000 penonton menjadi venue final bersejarah itu.

Messi, beraksi buat kali kelima dan final Piala Dunia, berharap dapat memimpin Argentina menjulang kejuaraan pertama sejak Diego Maradona menjadi inspirasi kemenangan di Mexico City pada 1986.

Lawan yang bakal dihadapi penyerang prolifik, Kylian Mbappe dan pasukan Perancis yang mensasarkan kejuaraan Piala Dunia kedua berturut-turut buat pertama kali sejak Pele yang memimpin Brazil pada 1958 dan 1962.

Messi, 35, merangkul tujuh anugerah Ballon d'Or untuk dinobatkan pemain terbaik dunia, tapi penampilan terakhir di final Piala Dunia berakhir agak mengecewakan selepas tewas kepada Jerman pada 2014.

Kempen Argentina di Qatar juga disemarakkan lagi dengan kehadiran puluhan ribu penyokong mereka yang setia menyokong pasukan pada setiap perlawanan.

"Saya sangat menyedari bahawa Argentina akan mempunyai ramai penyokong di belakang mereka.

"Saya mengetahui Argentina, ramai penduduk di seluruh dunia dan mungkin sebahagian orang Perancis, berharap Lionel Messi akan memenangi Piala Dunia," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 9:55 PM