MBAPPE (kiri) dan Messi menjadi tumpuan syarikat pertaruhan. FOTO AFP
MBAPPE (kiri) dan Messi menjadi tumpuan syarikat pertaruhan. FOTO AFP
AFP

Paris: Syarikat pertaruhan terkemuka memberitahu AFP bahawa mereka berdoa untuk Kylian Mbappe dan Perancis menang ke atas Lionel Messi dan Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia esok.

Keseluruhan persembahan kejohanan empat tahun sekali itu menyebelahi syarikat pertaruhan terutama selepas penyingkiran awal England dan Brazil.

Bagaimanapun, persembahan cemerlang Messi yang berusia 35 tahun yang memacu pasukannya untuk menjulang trofi menimbulkan ketakutan dalam kalangan bookie.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fitzdares, syarikat pertaruhan tertuan di dunia, William Woodhams, berkata hanya sebahagian kecil peminat bola sepak England akan menyebelahi Perancis.

"Kami takut Messi akan meledak jaringan dan membantu kemenangan Argentina.

"Kami memerlukan Mbappe untuk menjaringkan lebih banyak gol daripada Messi dan membantu Perancis menang. Kami semua akan menyebelahi Perancis esok," katanya.

Woodhams berkata, Messi menjadi kegemaran penonton dengan menenggelamkan Mbappe walaupun mereka berdua memasuki perlawanan akhir dan terikat sebagai penjaring terbanyak bersama dengan lima gol.

Mbappe gagal menjaringkan gol sejak meledak dua jaringan menentang Poland dalam perlawanan 16 terakhir.

"Semua wang dipertaruhkan kepada Messi sebagai pemenang Kasut Emas,.

"Sebelum kejohanan, wang pertaruhan terarah kepada Mbappe tetapi mereka melihat peluang yang ada pada Messi.

"Jika dia memenangi Kasut Emas ia akan menelan kos £500,000 (RM2.6 juta)," kata Woodhams, merujuk kepada trofi untuk penjaring terbanyak Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 12:15 PM