AZALINULLAH tidak disambung kontrak bersama TFC bagi musim depan. FOTO TFC
AZALINULLAH tidak disambung kontrak bersama TFC bagi musim depan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Hasrat pemain tengah Terengganu FC (TFC), Azalinullah Alias untuk terus menabur bakti dengan kelab negeri kelahirannya itu berkecai selepas digugurkan bagi musim 2023.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu turut kempunan untuk membuat penampilan pertama di pentas Asia dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

Azalinullah yang pernah berguru dengan jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan ketika bersama kelab T-Team pada 2017 berkata, sebelum ini namanya berada dalam senarai pemain bakal disambung kontrak bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Sebelum ini pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd memaklumkan nama saya antara pemain bakal dikekalkan bersama TFC, musim depan.

"Jadi, saya terpaksa menolak tiga tawaran kelab lain kerana mahu terus beraksi dengan negeri kelahiran selain mahu merasa pengalaman bermain di pentas Asia, lagipun isteri baharu bersalin anak sulung dan saya tidak mahu berpisah dengan keluarga.

"Bagaimanapun, semalam saya terkejut apabila nama saya diumumkan dalam senarai 12 pemain tidak berada dalam perancangan pasukan TFC musim depan.

"Jika dimaklum maklum awal, saya boleh berbincang dengan kelab lain yang inginkan khidmat saya. Walaupun terkejut dan kecewa dengan pihak pengurusan yang lewat membuat keputusan, saya terima dengan hati terbuka dan berharap satu hari nanti dapat kembali semula beraksi dengan negeri kelahiran," katanya.

Menurutnya, setakat ini, dia belum berbincang dengan mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.

Selepas T-Team, pemain berketinggian 1.70 meter itu menyarung jersi kelab PJ Rangers pada 2018 sebelum kembali ke Terengganu menyarung jersi TFC bermula 2019 hingga musim ini.

Semalam, TFC Sdn Bhd mengumumkan 12 pemain yang tidak disambung kontrak bagi musim 2023 iaitu pemain sayap, Faisal Halim, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Sharin Sapien, Hafizal Alias, Muhammad Arif Mohamed Anwar, Mohd Shamirza Yusoff serta Azalinullah.

Turut tidak disambung kontrak lima pemain import iaitu Petrus Shitembi, Pape Diakite, Manuel Ott dan dua penyerang, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 4:57 PM