DIAKITE (kanan), Tchetche (tengah) dan Shitembi antara 12 pemain yang tiada dalam senarai skuad TFC bagi musim depan. FOTO GHAZALI KORI
DIAKITE (kanan), Tchetche (tengah) dan Shitembi antara 12 pemain yang tiada dalam senarai skuad TFC bagi musim depan. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan 12 pemain tidak lagi bersama skuad kendalian Tomislav Steinbruckner bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Menerusi kenyataan dalam media rasmi kelab itu hari ini, lima pemain import musim ini iaitu dua penyerang, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche; pemain pertahanan, Pape Diakite dan dua pemain tengah, Manuel Ott serta Petrus Shitembi tiada dalam perancangan skuad itu musim depan.

Turut tidak berada dalam senarai pemain musim depan adalah tujuh pemain tempatan termasuk kapten Harimau Malaya, Faisal Halim.

Selain itu, pemain yang diberi pinjaman kepada Kelantan United FC (KUFC) pada jendela kedua perpindahan pemain pada Jun lalu iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat; penjaga gol berpengalaman, Mohd Shamirza Yusoff; dua pemain tengah, Mohd Azalinullah Alias dan Sharin Sapien.

Turut diumumkan tiada dalam senarai adalah pemain pertahanan, Muhamad Hafizal Alias dan penyerang kelahiran Gombak, Selangor, Muhammad Arif Mohamed Anwar.

"TFC Sdn Bhd hari ini mengumumkan 12 pemain yang sah meninggalkan pasukan bagi mengharungi kancah Liga M musim depan.

"Atas khidmat bakti mereka bersama pasukan sebelum ini sehingga berjaya membantu pasukan melangkah ke pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan selain muncul naib juara Piala FA dan naib juara Liga Super musim ini, kelab merakam ucapan terima kasih kepada semua pemain dan selamat maju jaya dalam meneruskan karier di tempat lain.

"Sememangnya penghijrahan adalah lumrah dalam sukan nombor satu ini, namun kami berharap kenangan bersama skuad TFC dapat dikenang bersama," demikian menurut kenyataan itu.

Ott sah menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dikendalikan bekas jurulatih TFC, Nafuzi Zain dengan kontrak selama dua musim manakala Hafizal bersama pasukan Perak FC dengan kontrak selama setahun dengan tambahan setahun lagi jika khidmatnya masih diperlukan.

Shitembi, Diakite dan Tchetche difahamkan belum diikat mana-mana pasukan manakala Sherman hampir pasti menyarung jersi pasukan Sri Pahang FC dan Faisal ke Selangor FC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 6:44 PM