AZALINULLAH menyertai Perak FC pada jendela kedua perpindahan pemain pada musim ini. FOTO FB PERAK FC
AZALINULLAH menyertai Perak FC pada jendela kedua perpindahan pemain pada musim ini. FOTO FB PERAK FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain tengah Perak FC, Muhammad Azalinullah Mohammed Alias mengakui mendapat tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super musim depan.

Pemain kelahiran Terengganu itu menjelaskan dia begitu terharu dan berterima kasih kepada pasukan yang sudah merisiknya sejak bulan lalu biarpun kontraknya bersama Perak FC bakal berakhir Disember ini.

Bagaimanapun, bekas pemain Terengganu FC (TFC) berusia 27 tahun itu berkata, besar harapannya jika mendapat tawaran dari negeri kelahirannya dan dia sedia pulang berbakti bersama skuad Penyu musim depan.

"Banyak kenangan manis bersama skuad TFC bermula ketika menyarung jersi kelab T-Team sejak 2017 sebelum awal musim ini diketepikan TFC kendalian jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner.

"Alhamdulillah sekarang saya dihubungi beberapa pasukan yang mula bertanya mengenai kontrak saya bersama pasukan Perak FC, mungkin ini rezeki anak saya.

"Namun saya tidak boleh maklumkan pasukan mana kerana masih bersama pasukan Perak FC sehingga Disember ini, cuma boleh saya katakan pasukan berkenaan berada dalam kelompok lima pasukan terbaik saingan Liga Super.

"Sejujurnya saya suka berada di sini (Perak FC), semuanya OK, begitu juga jurulatih Yusri Che Lah yang banyak membimbing saya," katanya yang menyertai Perak FC bermula jendela kedua perpindahan pemain musim ini.

Dia turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Perak FC yang menyelamatkan kariernya yang sebelum ini terganggu disebabkan tiada pasukan menawarkan kontrak bermula enam bulan pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 11:24 PM