BERLUSCONI terkenal dengan perwatakan lepas cakap dalam kalangan ahli politik Itali. FOTO Reuters
BERLUSCONI terkenal dengan perwatakan lepas cakap dalam kalangan ahli politik Itali. FOTO Reuters
Reuters

Rom: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi memberitahu pemain Monza beliau akan membawa pelacur ke bilik persalinan jika pasukannya itu berjaya menumpaskan sekali lagi pasukan gergasi Serie A.

Berlusconi, yang sering bergurau kasar, dituduh pada 2011 melakukan hubungan seks dengan pelacur bawah umur di salah satu parti terkenal 'bunga bunga'.

Beliau dibebaskan berikutan rayuan pada 2015 selepas hakim memutuskan beliau tidak tahu mangsa masih di bawah umur.

"Saya memberitahu mereka ... sekarang mereka akan menentang Milan, Juventus. Jika mereka menang menentang salah satu pasukan teratas ini, saya akan membawa pelacur ke bilik persalinan," kata Berlusconi, 86, dalam video yang dirakam pada majlis makan malam Krismas bersama pemain Monza.

Daniela Sbrollini, seorang senator wanita dari parti pembangkang Itali, Viva yang berhaluan tengah, menyebutnya sebagai kiasan biasa dari Berlusconi: satu jenaka dengan rasa tidak enak yang membuatkan semua terdiam.

Monza dinaikkan ke Serie A buat pertama kali musim lalu dan mengalahkan Juventus pada September.

Mereka akan menentang Inter dan Juventus sekali lagi Januari ini dan akan menentang kelab lama Berlusconi AC Milan Februari depan.

Berlusconi, yang memiliki AC Milan selama tiga dekad, membeli Monza pada 2018.

Mereka kini berada di tangga ke-14 dalam liga yang membariskan 20 pasukan.

Pernah menjadi tokoh paling dominan dalam politik Itali, Berlusconi kini jarang tampil, disebabkan masalah kesihatan dan kemerosotan populariti partinya Forza Italia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 10:38 PM