BALOTELLI (kiri) menjaringkan gol pembukaan buat Monza pada minit ketiga. FOTO AFP
BALOTELLI (kiri) menjaringkan gol pembukaan buat Monza pada minit ketiga. FOTO AFP
AFP

Milan: Mario Balotelli bermula dengan cemerlang bersama Monza selepas meledak gol pertama tiga minit dalam penampilan sulung untuk pasukan yang bercita-cita tinggi yang dimiliki Silvio Berlusconi.

Pemain antarabangsa Itali itu menandatangani kontrak sehingga Jun untuk kelab Serie B itu dan memberikan impak segera apabila menyambut hantaran silang Carlos Augusto bagi membantu Monza mencatat kemenangan 3-0 ke atas pendahulu liga, Salernitana.

Balotelli, yang tidak mempunyai pasukan sejak pertengahan tahun sebelum menandatangani kontrak dengan kelab berkenaan, berjaya menyumbat satu lagi gol namun ia dibatalkan kerana ofsaid sebelum dia dikeluarkan selepas sejam beraksi.

Antonino Barilla meletakkan pasukan tuan rumah selesa sebelum rehat apabila dia meledak rembatan dari jarak dekat dan pemain gantian, Marco Armellino mengesahkan tiga mata buat Monza bagi membolehkan mereka hanya dibezakan dua mata di belakang Salernitana.

Berlusconi yang juga bekas perdana menteri Itali, membeli Monza pada September 2018 dan kedua-dua pernah bergabung di antara 2013 hingga 2014 di Milan.

Balotelli juga menyertai bekas rakan sepasukannya di Milan, Kevin Prince Boateng, yang menandatangani kontrak bersama Monza September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 3:36 PM