Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo. FOTO Agensi
Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo. FOTO Agensi
Reuters

Doha: Pemenang Piala Dunia dari Brazil, Ronaldo pasti tak gembira jika musuh tradisi, Argentina memenangi kejohanan di Qatar susulan negara kelahirannya tersingkir mengejut pada suku akhir.

Brazil yang menjulang trofi kelima pada 2002 dengan Ronaldo menjadi tonggak utama pasukan itu, dikejutkan dengan kekalahan menerusi penentuan penalti kepada Croatia yang akan berdepan Argentina pada Separuh Akhir awal pagi Rabu.

"Untuk menyatakan saya tumpang gembira bagi pihak Argentina (jika mereka menang), itu adalah tidak benar, ia adalah penipuan, Saya tidak akan bersikap hipokrit," kata Ronaldo.

"Kami semua berhak menjulang Piala Dunia, ia kemenangan di atas padang. Argentina tidak beraksi dengan baik, tetapi mereka mempunyai impian, mereka banyak berlari, mereka mempunyai kekuatan luar biasa... dan mereka mempunyai Lionel Messi yang sentiasa tepat di bahagian penyudah."

Ronaldo memenangi Ballon d'Or dua kali termasuk menjulang beberapa trofi bersama pasukan kebangsaan termasuk Copa Amerika dan Piala Konfederasi, juga berbicara pandangannya mengenai jurulatih seterusnya buat Brazil selepas Tite meninggalkan jawatan itu apabila gagal memenangi dua Piala Dunia.

"Saya tidak kisah jika jurulatih itu warga asing. Saya suka jika Pep Guardiola, Carlo Ancelotti atau Jose Mourinho melatih Brazil. Tetapi bukan saya yang memilih," katanya.

"Saya sentiasa menyokong CBF (Persekutuan Bola Sepak Brazil) dengan apa yang mereka mahukan serta sebarang pandangan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 2:12 AM