BEKAS bintang Brazil, Edilson mendakwa dia jauh lebih baik berbanding Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar ketika di puncak karier bola sepaknya.
Edilson yang kini berusia 48 tahun antara tonggak yang membantu negaranya menjuarai Piala Dunia 2002 serta memenangi empat gelaran liga Brazil bersama Palmeiras dan Corinthians.
Dia juga memenangi Piala Dunia Kelab pada 2000 bersama Corinthians.
"Ketika di kemuncak prestasi, saya beraksi lebih baik daripada Neymar," katanya kepada TV Bandeirantes. "Dia perlu menjuarai Piala Dunia jika mahu lebih baik daripada saya.
"Saya memiliki personaliti dan jika Messi mahu lebih baik daripada saya, dia juga perlu menjulang Piala Dunia.
"Cristiano Ronaldo hanya mempunyai kekuatan; dia menguasai bola dengan kedua-dua kakinya tetapi saya lebih berkemahiran berbanding dia."
Superstar Barcelona, Messi hampir menjuarai kejohanan itu tetapi Argentina tewas 0-1 kepada Jerman pada final 2014 di Brazil.
Penyerang Juventus, Ronaldo dan Paris Saint-Germain, Neymar mara ke separuh akhir Piala Dunia tetapi tersekat selepas masing-masing tewas kepada Perancis dan Jerman.
Bagaimanapun, Ronaldo mengemudi Portugal menjuarai Kejohanan Eropah 2016 manakala Neymar menjaringkan penalti kemenangan Brazil ketika meraih pingat emas Olimpik empat tahun lalu.
Brazil turut menjuarai Copa America di tempat sendiri tahun lalu tetapi Neymar terlepas kejohanan itu selepas mengalami kecederaan.