Peminat meraikan kejayaan Maghribi mara ke separuh akhir. FOTO AP
Peminat meraikan kejayaan Maghribi mara ke separuh akhir. FOTO AP
AFP

Tunis: Negaranya berdepan krisis diplomatik dengan Maghribi tetapi ia tidak menghalang warga Tunisia, Wissam Sultani menyokong pasukan pertama Arab atau Afrika yang mara ke separuh akhir bola sepak Piala Dunia.

"Tiada politik di atas padang. Sokongan kepada negara Arab, yang mana sekalipun, ia adalah tugas apabila berada di peringkat ini dalam kejohanan," kata Sultani, 41, seorang penjual sayur di Tunis, ibu kota salah sebuah negara di Afrika Utara.

"Bola sepak menyatukan masyarakat, tetapi politik memecahkan mereka."

Maghribi yang mendapat gelaran Singa Atlas, yang menewaskan Portugal pada Sabtu untuk mara ke kelompok empat terbaik, akan berdepan kuasa penjajah suatu masa dulu, Perancis pada awal pagi Khamis.

Mereka pastinya berharap kepada ramai penyokong seluruh Afrika dan dunia Arab.

Tiga wakil Afrika - Cameroon, Ghana dan Senegal - berjaya mara ke suku akhir sejak 1990, tetapi Maghribi adalah wakil Benua itu yang pertama kali mara ke separuh akhir.

Sultani adalah salah seorang daripada rakyat Tunisia yang menyokong pasukan itu - dengan tidak mengambil kira pertikaian diplomatik antara dua kerajaan mereka berhubung wilayah Sahara Barat yang dipertikaikan.

Maghribi menarik balik dutanya dari Tunis pada Ogos selepas Presiden Tunisia Kais Saied mengalu-alukan ketua Polisario Front, yang menuntut kemerdekaan untuk Sahara Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 9:50 PM