ANCELOTTI jadi pilihan Brazil untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Tite. FOTO FAIL REUTERS
ANCELOTTI jadi pilihan Brazil untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Tite. FOTO FAIL REUTERS
Reuters

Rio de Janeiro: Brazil mahu melantik Carlo Ancelotti sebagai jurulatih baru mereka.

Presiden Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF), Ednaldo Rodrigues mahu menggunakan perlawanan antarabangsa di Eropah untuk berunding dengan pengurus Real Madrid itu dan akan berjumpa dengan presiden kelab, Florentino Perez.

Beliau menyifatkan Ancelotti sebagai pilihan utama untuk menggantikan Tite, yang meninggalkan skuad Brazil selepas tersingkir di suku akhir Piala Dunia di Qatar, November lalu.

"Dia kekal dalam Pelan A dan dalam kunjungan ke Eropah kali ini, kami akan mendapat gambaran lebih jelas," kata Rodrigues pada sidang media di ibu pejabat CBF di Rio de Janeiro, hari ini.

Brazil akan menentang Guinea di Sepanyol pada 17 Jun dan kemudian menentang Senegal di Lisbon, Portugal pada 20 Jiun.

"Kunjungan kali ini amat penying buat kami (memutuskan mengenai jurulatih masa depan). Saya mahu bercakap dengan Ancelotti dan presiden Real Madrid. Hanya selepas itu baru kami boleh katakan apa yang akan berlaku selepas ini," kata Rodrigues.

Jurulatih dari Itali itu masih memiliki kontrak dengan Madrid hingga 2024 dengan perjanjian yang turut membabitkan penalti sekiranya ia ditamatkan awal.

Menurut Rodrigues, masalah itu tidak akan menjejaskan sebarang kemungkinan dengan Brazil.

"Sudah tentu, isunya bukan kerana denda itu. Masalahnya mengenai kontrak dan tiada siapa mahu melanggarnya," katanya,

"Kami melabur dan berminat dengan idea ini dan akan melakukan apa yang termampu untuk menjadikannya realiti."

Bulan lalu, Ancelotti menafikan minat Brazil dengan menyatakan dia menghormati tahun terakhir kontrak bersama Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 8:00 AM