BARISAN pemain Maghribi meraikan kejayaan mereka. FOTO Reuters
BARISAN pemain Maghribi meraikan kejayaan mereka. FOTO Reuters
AFP

Doha: Maghribi mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun menerusi kemenangan 2-1 ke atas Kanada yang sudah tersingkir.

Gol daripada Hakim Ziyech dan Youssef En-Nesyri membolehkan negara Afrika Utara itu mengungguli Kumpulan F, mengatasi naib juara Piala Dunia 2018, Croatia.

Maghribi yang kali terakhir layak ke pusingan kalah mati pada edisi 1986 akan berdepan naib juara Kumpulan E di pusingan 16 terbaik.

"Ia bukanlah mudah tetapi apabila anda ada peluang untuk mencipta sejarah, anda akan mengingatinya.

"Sebelum kejohanan bermula, kami sudah meletakkan objektif - kami mahu memberikan segalanya dan cuba melepasi peringkat kumpulan. Sekarang kami berjaya melakukannya," kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui.

Kekalahan Kanada menutup kempen penuh kecewa wakil CONCACAF itu yang tewas semua tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Namun jurulatihnya, John Herdman berkata anak buahnya meninggalkan bumi Qatar dengan penuh rasa bangga.

"Ini kali pertama di sini selepas menunggu untuk satu tempoh yang panjang. Kami mahu berada di sini lebih lama tetapi kami gembira dengan pengalaman yang diperoleh.

"Pemain ke sini untuk bersaing. Kami tidak gentar dalam ketiga-tiga perlawanan dan kami ada sesuatu untuk diraikan dalam setiap perlawanan itu.

"Kami tidak pulang dengan rasa malu tetapi dengan rasa bangga," kata Herdman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 3:40 AM