MESSI meraikan kemenangan ke atas Poland.
MESSI meraikan kemenangan ke atas Poland.
AFP

Doha: Lionel Messi percaya Diego Maradona pasti 'sangat gembira' selepas dia membawa Argentina mara ke peringkat 16 terakhir menerusi kemenangan 2-0 ke atas Poland, awal pagi tadi.

Messi muncul pemain paling banyak beraksi di Piala Dunia buat negaranya dengan 22 penampilan mengatasi legenda itu yang meninggal dunia dua tahun lalu.

"Saya hanya mengetahuinya baru-baru ini, saya tak tahu namun gembira dapat meneruskan rekod seperti ini. Saya fikir Diego pastinya sangat gembira kerana dia selalu bangga dan suka dengan kejayaan saya," Messi.

Walaupun gagal menjaringkan penalti ke-39 sepanjang kariernya, kapten Argentina itu berkata dia gembira dengan perlawanan penting menentang Poland.

"Kami mencapai sasaran pertama iaitu melepasi peringkat kumpulan selepas permulaan mengecewakan (tewas 1-2 kepada Arab Saudi," kata Messi.

"Saya kecewa terlepas penalti kerana saya tahu gol itu boleh menukar seluruh perlawanan namun saya fikir selepas itu pasukan menjadi lebih kuat."

Messi yang perlu menjuarai Piala Dunia untuk mengesahkan status antara pemain terhebat dalam sejarah percaya prestasi Argentina meningkat pada masa yang tepat.

"Selepas gol pertama, semuanya menjadi buat kami. Itu sepatutnya kami lakukan sejak permulaan Piala Dunia tetapi gagal atas beberapa sebab. Dapat melakukannya hari ini meningkatkan lagi keyakinan kami untuk masa depan."

Argentina akan menentang Australia pada peringkat 16 terakhir Ahad ini.

"Kami tahu di peringkat ini semuanya pasti sukar. Siapa sahaja lawan kami, ia tidak mudah. Kami menyaksikan sendiri dan mengalaminya sebelum ini. Semua pasukan boleh beraksi dengan baik dan mencipta kejutan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:44 AM