MESSI (kanan) berbisik dengan penyerang, Lautaro Martinez selepas menewaskan Poland untuk layak ke pusingan kalah mati. FOTO Reuter
MESSI (kanan) berbisik dengan penyerang, Lautaro Martinez selepas menewaskan Poland untuk layak ke pusingan kalah mati. FOTO Reuter
Reuters

Doha: Argentina adalah pilihan utama untuk menewaskan Australia di pusingan kalah mati, Sabtu ini, pada ketika Lionel Messi memburu gelaran pertama pada penampilan terakhir di Piala Dunia.

Tetapi, mereka sudah pasti belajar supaya tidak memandang rendah pasukan underdog, terutama skuad hati keras seperti Socceroos.

Argentina mengalami satu daripada kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila tewas 1-2 di tangan Arab Saudi pada perlawanan pembukaan, tetapi kembali bangkit menewaskan Mexico dan Poland untuk layak ke pusingan 16 terakhir.

Australia yang berada 35 tangga di bawah Argentina sudah mengatasi jangkaan apabila menang dua kali dan layak ke pusingan kedua di Stadium Ahmad bin Ali adalah antara pencapaian terbaik mereka.

Kedua-dua pasukan hanya memiliki dua hari untuk berehat dan pengurus Argentina, Lionel Scaloni menyifatkannya sebagai gila.

"Kami hampir tiada masa untuk menikmatinya, ia berkaitan dengan pemulihan, pemulihan dan kembali segar semula," kata penolong jurulatih Australia, Rene Meulensteen.

"Tetapi, satu perkara yang saya boleh tegaskan kepada anda, kami akan bersedia sepenuhnya."

Terlalu gembira dan keletihan selepas mara ke pusingan kalah mati buat kali kedua dalam sejarah, Australia terpaksa beraksi perlawanan terbaik dalam hidup untuk mengatasi Argentina yang dilimpahi pemain berbakat dalam skuad.

"Mereka adalah lawan sukar. Seseorang itu silap jika menganggap aksi menentang Australia adalah perlawanan mudah," kata Scaloni.

Mereka akan didorong sokongan paling kuat berikutan Argentina dikatakan memiliki pengkalan penyokong terbesar di Qatar.

Penyerang Argentina, Angel Di Maria terpaksa dikeluarkan ketika menewaskan Poland, tetapi dijangka cergas untuk bergandingan dengan Messi, walaupun Scaloni memiliki beberapa pilihan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 9:52 PM