SABAH FC tetap membara lawan JDT. FOTO Sabah FC
SABAH FC tetap membara lawan JDT. FOTO Sabah FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur; Sabah FC sedia sedaya upaya membendung asakan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Penjaga gol Sabah, Damien Lim antara individu yang dijangka 'sibuk' bagi mengekang rangkaian penyerang berbisa JDT.

Jelas Damien, dia berharap mampu membantu pasukan dengan menampilkan aksi terbaik seperti mana dilakukan ketika aksi pertama di Kota Kinabalu Selasa lalu.

Dalam aksi sebelum ini, skuad The Rhinos tewas tipis 0-1 dengan Damien muncul wira menyelamatkan deretan peluang lawan termasuk sepakan penalti Bergson da Silva.

"Harap di Stadium Sultan Ibrahim, kami mampu berjuang habis-habisan selepas berjaya peraga semangat luar biasa semasa bermain di tempat sendiri.

"Kami berjaya ikuti segala taktikal diterapkan jurulatih dan sememangnya kami berpuas hati kerana hadirkan tentangan kepada lawan sehebat JDT," katanya.

Kelebihan satu gol skuad Harimau Selatan dianggap masih belum selamat dengan Sabah dijangka menyerang habis-habisan sekali gus cuba mencuri tiket ke final.

Untuk rekod, Sabah mara ke pentas final Piala Malaysia sebanyak tiga kali masing-masing pada 1996, 2002 dan 2003 namun tewas untuk sekadar bergelar naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 7:57 PM