Burhan Ajui optimis Sabah FC mampu mara ke suku akhir Piala Malaysia. -FOTO Rizar Mohd Noor
Burhan Ajui optimis Sabah FC mampu mara ke suku akhir Piala Malaysia. -FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Sabah FC masih menaruh harapan tinggi untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia walaupun tewas 0-3 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Ketua penolong jurulatih, Burhan Ajui yang hadir pada sidang media bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang terpaksa beredar dari stadium kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan berkata baki dua perlawanan di laman harus digunakan sepenuh untuk mengutip enam mata.

"Kami akan menentang Kelantan FC, Sabtu dan kemudian berdepan Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Selasa ini dan kedua-dua perlawanan berlangsung di laman kami sendiri dan sudah tentu kami mahu ambil kesempatan untuk memburu kemenangan.

"Tidak ada alasan untuk kami gagal melakar kemenangan tatkala beraksi di laman sendiri dan kami akan turun habis-habisan bagi memastikan peluang terakhir untuk layak ke suku akhir tidak terlepas begitu sahaja," katanya.

Skuad Tambadau kini menghuni di tangga terakhir Kumpulan D selepas mengumpul dua mata dan perlu mengutip enam mata dan mengharap PJ City FC tewas kepada JDT pada aks Sabtu ini dan menyasarkan kemenangan ke atas Kelantan FC pada aksi di Stadium Likas.

Mengulas mengenai kekalahan kepada JDT, Burhan mengakui agak sukar mencipta kemenangan apabila beraksi di tempat lawan yang jelas menguasai perlawanan.

Tambahnya, sepanjang latihan sebelum aksi menentang JDT, Datuk Ong (Kim Swee) membuat perancangan taktikal dengan corak permainan berlapis bagi menguatkan di posisi tengah dan pertahanan kerana menjangkakan JDT akan menguasai perlawanan di posisi sayap kiri dan kanan dan tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 12:29 PM