HEUNG-min dilihat memakai topeng pelindung muka. FOTO AFP
HEUNG-min dilihat memakai topeng pelindung muka. FOTO AFP
Agensi

Doha: Son Heung-min berlatih dengan memakai topeng pelindung muka dalam usahanya untuk cergas sepenuhnya sekali gus dapat beraksi di saingan Piala Dunia.

Bintang Tottenham berusia 30 tahun itu mengalami patah rongga pada matanya ketika meraih kemenangan pada saingan Liga Juara-Juara di Marseille dua minggu lalu.

Dia berlanggar dengan bahu pemain pertahanan, Chancel Mbemba sekali gus mencetuskan keraguan mampukah beraksi di Piala Dunia Qatar 2022.

Selepas selamat menjalani pembedahan, penyerang itu dipanggil menyertai skuad Piala Dunia Korea Selatan.

Kapten Korea itu dilihat bersemangat ketika turun menjalani latihan di Doha.

Bagaimanapun dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka sepanjang sesi latihan itu.

Korea Selatan mengharapkan Heung-min cergas sepenuhnya untuk memulakan kempen Kumpulan H menentang Uruguay pada 24 November.

Skuad kendalian Paulo Bento kemudiannya akan berdepan Ghana dan Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 9:27 PM