SON (kanan) memakai topeng ketika berlatih bersama rakan sepasukan sebelum menentang Uruguay. FOTO AP
SON (kanan) memakai topeng ketika berlatih bersama rakan sepasukan sebelum menentang Uruguay. FOTO AP
AFP

Doha: Son Heung-min disahkan cergas dan boleh beraksi pada perlawanan pembukaan Korea Selatan menentang Uruguay, malam esok, sekalipun akan memakai topeng selepas pembedahan muka, kata jurulatih, Paulo Bento.

Penyerang Spurs dan kapten Korea Selatan itu menjalani pembedahan awal bulan ini akibat kecederaan di tulang berhampiran mata kiri selepas berlaga pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Son boleh bermain dan akan bermain," kata Bento pada sesi latihan hari ini.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu tetap berwaspada dan menyatakan: "Dia dan kami tahu, kami tidak boleh mengambil sebarang risiko selepas kecederaan itu."

Son, 30, berlatih di Qatar dengan memakai topeng muka dan penyokong Korea Selatan tidak sabar menunggu perkembangan mengenai tahap kecergasannya.

Pada satu sesi latihan di Doha, topeng itu dilihat memberi masalah kepada Son ketika melakukan latihan kecergasan bersama rakan sepasukan.

Bento menyatakan topeng itu sudah 'biasa' dengan pemain yang menjaringkan 35 gol dalam lebih 100 penampilan antarabangsa dan berkongsi Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan bintang Liverpool, Mo Salah, musim lalu.

"Hakikatnya, memakai topeng itu jelas membuatkannya tidak selesa," kata Bento.

"Kami tetap dengan perancangan sejak datang ke sini dan menggabungkannya dalam kumpulan dan menunjukkan dia sudah biasa.

"Kami akan lihat bagaimana keadaannya esok. Kami berharap dia rasa selesa."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 9:00 PM