Bintang Korea Selatan, Son Heung-min (tengah) menjalani sesi latihan. FOTO AFP
Bintang Korea Selatan, Son Heung-min (tengah) menjalani sesi latihan. FOTO AFP
Reuters

Doha: Korea Selatan menanti dengan penuh debaran sama ada kapten mereka Son Heung-min dapat diturunkan pada aksi penting ketika gergasi Asia itu memulakan kempen Piala Dunia menentang Uruguay, Khamis ini.

Penyerang Tottenham Hotspur itu mengalami kecederaan pada mata kiri tiga minggu lalu dan menjalani latihan di Qatar dengan memakai topeng pelindung muka seakan watak 'Zorro'.

Kumpulan H turut membabitkan Portugal dan Ghana, bermakna khidmat Heung-min sangat diperlukan di bahagian serangan ketika Korea Selatan mengidam untuk mengutip mata awal.

Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento sudah memberi arahan kepada pasukan bagi membincang keadaan Heung-min dalam persediaan Piala Dunia sekali gus berharap barisan pertahanan pasukan dapat menyekat serangan pasukan lawan.

"Kami harus memeriksa dan melakukan analisis hari demi hari, biarkan dia datang," kata Bento menjelang aksi di Qatar.

"Kami mempunyai masa untuk melakukan keputusan yang tepat dan tindakan terbaik untuk keseluruhan pasukan kami."

Heung-min bersemangat untuk beraksi, bimbang mengenai kecederaan yang lebih buruk bagaimanapun dia berkata "lebih daripada bersedia untuk berdepan saingan itu".

Uruguay sekali lagi dilabelkan 'kuda hitam' dalam kejohanan, dengan pasukan kombinasi pemain diketuai pemain berusia 35 tahun ke bawah serta bakat pemain muda yang teruja menyertai Piala Dunia pertama mereka.

Ia termasuk pemain yang mencipta rekod perpindahan di Liverpool, Darwin Nunez, yang dijangka bergandingan bersama pemain veteran Luis Suarez, juga pemain penting ketika kemaraan Uruguay pada aksi separuh akhir di Piala Dunia 2010.

Nunez, 23, 12 tahun lebih muda daripada Suarez dan rakan penyerang Edinson Cavani, yang beraksi untuk Piala Dunia keempat mereka begitu juga kapten dan pemain yang paling banyak kap penampilan bersama skuad kebangsaan itu, Diego Godin.

Antara 13 pemain yang melakukan penampilan sulung adalah pemain tengah versatil Real Madrid, Federico Valverde dan pemain Manchester United, Facundo Pellistri yang turut dikaitkan bakal bergandingan dengan pemain Tottenham yang berada di prestasi terbaik Rodrigo Bentancur di jentera tengah.

Jurulatihnya, Diego Alonso berkata jarak usia bagi pemain berpengalaman bukan masalah besar buatnya dan percaya Uruguay berpeluang memenangi Piala Dunia, sama seperti ketika mereka melakukannya pada 1930 dan 1950.

Uruguay melakukan penampilan dalam 14 Piala Dunia dan Korea Selatan 11, tetapi kedua-dua pasukan tidak mempunyai rekod baik dalam perlawanan pembukaan mereka, ketika wakil Asia itu tewas atau seri dalam dua perlawanan terakhir Piala Dunia mereka.

Manakala Uruguay gagal untuk memenangi perlawanan pembukaan mereka dalam enam daripada tujuh penampilan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 8:17 PM